KOTA KINABALU, 20 Jan 2011 (Bernama) -- Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) akan menubuhkan Makmal Industri Perkayuan Sabah bulan depan, kata pengerusi MTIB Datuk Wilfred Madius Tangau.
Beliau berkata makmal itu bertujuan mengumpul maklumat dan meningkatkan penyertaan pengusaha industri kayu dalam merangka program dan aktiviti untuk meningkatkan nilai tambah hasil kayu di negeri ini.
"Pengwujudan makmal ini adalah hasil inisiatif MTIB sendiri yang mahu melihat industri perkayuan di Sabah ini bertambah maju pada masa depan," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penganugerahan sijil Program Latihan Belia (PLB) di Kompleks MTIB Wilayah Sabah di Taman Perindustrian Kota Kinabalu, di sini hari ini.
Madius berkata tahun lepas sahaja, nilai eksport kayu kayan Sabah mencecah RM2.8 bilion dan daripada jumlah itu, 12 peratus atau sekitar RM248.5 juta adalah hasil daripada produk kayu nilai tambah termasuk perabot.
Terdahulu, dalam ucapannya Madius berkata MTIB telah merangka pelbagai strategi untuk mencapai sasaran nilai eksport kayu kayan sebanyak RM53 bilion setahun menjelang tahun 2020. Beliau berkata ini termasuk meningkatkan nilai tambah industri hiliran daripada nisbah 40:60 kepada 60:40 seperti yang terkandung dalam dasar perindustrian kayu negara (NATIP).
Beliau berkata turut diberi perhatian ialah peningkatan dalam aspek rekabentuk dan inovasi, kepentingan pensijilan produk, peningkatan dalam penggunaan kemasiapan berteknologi hijau.
"Industri perkayuan juga perlu mempelbagaikan bahan mentah untuk pemprosesan perabot kayu dengan menggunakan bahan komposit, buluh serta produk-produk panel dan produk kayu 'engineered' yang dapat meningkatkan nilai pendapatan eksport," katanya.
Madius berkata kerajaan melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi turut menyediakan peruntukan yang agak besar untuk projek ladang hutan dalam usaha memastikan industri kayu terus mampan dan mempunyai bahan mentah yang mencukupi. Beliau berkata pendekatan itu bagi menggalakkan penanaman lapan jenis kayu perladangan yang boleh ditebang dalam jangka masa yang singkat.
"Di samping itu MTIB juga sedang giat menjalankan penyediaan Pilot Plot untuk penanaman buluh yang menjadi sumber alternatif berpotensi kepada kayu bertempat di Batu Kurau.
"Buluh telah digunakan dengan meluas di China dan Indonesia tetapi merupakan satu industri baru di Malaysia dan produk buluh mempunyai potensi besar sebagai panel untuk lantai, dinding serta perabot dan dieksport ke luar negara," katanya.
Madius berkata industri perkayuan Malaysia merupakan satu daripada sektor yang menjadi penyumbang utama kepada pendapatan negara, dan tahun lepas eksport produk kayu mencapai RM20 bilion," katanya.
Artikel ini dipetik dan disiarkan semula daripada laman web Berita Wilayah bertarikh 20 Januari 2011.
No comments:
Post a Comment